Followers

Saturday, January 15, 2011

TIPS MENDAPAT ANAK SOLEH DAN SOLEHAH ( BAB 1 )

 
Anak nakal.
Anak degil tak dengar kata.
Anak yang terjebak dengan kebejatan sosial.
Anak ‘ketegaq’ atau ‘nana’ – dialek kedah.
“Ish, si fulan itu curi motor aku semalam.. tak serik-serik dengan kelakunya.” Rungut seorang lelaki sambil mencekak pinggang menahan amarah.
“Anak siapa?” Tanya rakannya.
“Anak si fulan itulah. Bapak dengan anak sama, si bapa kaki botol, main judi, kaki perempuan!” Sambutnya dengan nada yang sedikit tinggi. Marah bukan kepalang lagi.
“Patutlah, bapak borek, anak rintikkan?”
Kesemua perilaku anak-anak, samaada degil, nakal, buas, keras kepala, benak dan ‘ketegaq’ sememangnya menjadi igauan ngeri buat para ibu bapa penjaga mahu pun masyarakat sekitarnya. Amat pelik jika ada ibu bapa penjaga mengatakan bahawa mereka gembira mendapat anak-anak yang degil dan bersangatan jahatnya. Itu bererti dia mengiyakan kejahatan anaknya jika mengukir rasa gembira.
Baiklah, mari kita renung sejenak, mengapa perkara ini terjadi. Walhal pada asalnya anak-anak itu adalah putih, bersih tanpa sebarang perilaku negatif. Orang melayu dahulukala kerapkali mencipta peribahasa yang bersandarkan kepada perilaku masyarakat, misalnya peribahasa yang berkait rapat dengan masalah ini ialah “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Benar, tetapi lebih benar lagi ialah bagi membentuk rebung atau buluh yang elok semaikanlah dan tanamlah dengan cara yang paling baik. Gunakan tanah subur dan penjagaan yang rapi, pasti akan terbit hasil rebung dan buluh yang menarik. Mana mungkin terhasil rebung manis daripada tanah kering kontang tanpa baja kecuali dengan izin Allah SWT.
KRITERIA PASANGAN
Sebelum pernikahan lagi Islam telah menetapkan perihal ini. Pilihlah pasangan yang mengenal siapa Allah SWT, siapa kekasihNya, dan tahu bagaimana praktikal mengabdikan diri kepada Pencipta. Itu asasnya yang paling utama. Di samping itu, sebelum menjejakkan kaki ke gerbang perkahwinan, setiap pasangan harus memiliki ilmu berumahtangga agar tak terpesong ke lembah kemungkaran. Faktor-faktor ini adalah perkara pokok yang patut diketahui setiap umat Islam.
Lihatlah bagaimana terbentuknya salasilah keturunan para sahabat, tabie’ tabie’in, ulama’ dan cendikiawan Islam antaranya Imam Syafie’ yang berketurunan Rasulullah SAW dan bersambung pada Abd Manaf. Ibunya pula menurut pendapat yang masyhur adalah seorang berketurunan Yaman dari suku Azd.
Imam Nawawi meriwayatkan tentang ibu Imam Syafie’, katanya: “Rasulullah SAW pernah bersabda: al-Azd ialah singa Allah di bumi ini, ramai dari manusia hendak menjatuhkan mereka, tetapi tidak diizinkan Allah SWT, bahkan Allah SWT meninggikan mereka, dan sesungguhnya pada suatu masa manusia akan berkata: Alangkah bertuahnya jika aku seorang Azdi dan alangkah bertuah juga jika ibuku seorang Azdiyyah.”
Mengenai Imam Syafie’, Rasulullah SAW juga pernah bersabda tentang kedatangan Imam Syafie’ r.a:
“Seorang alim daripada bangsa Quraisy akan memenuhi lapisan dunia ini dengan ilmu.”
Begitu juga yang terjadi pada silsilah keturunan Umar bin Abdul Aziz – cicit kepada Saidina Umar al-Khattab. Pernikahan cucu Saidina Umar al-Khattab dengan seorang lelaki bernama Abdul Aziz bin Marwan lalu melahirkan pula Khalifah adil dan saksama iaitu Umar bin Abdul Aziz. Kehebatannya memerintah dunia Islam ketika itu sudah diketahui umum semenjak dahulu hingga kini.
Formulanya, bagi menghasilkan keturunan anak cucu yang soleh dan solehah (ada juga segelintir keturunan baik terhasil daripada kalangan keluarga zalim, tetapi dengan izin Allah SWT mereka menjadi soleh dan solehah) – langkah pertama adalah kriteria pasangan yang dipilih adalah BERIMAN kepada Allah SWT. Gabungan sperma dan ovum manusia beriman pastinya membawa sel-sel genetik bagi menatijahkan penghasilan anak yang mempunyai akhlak, agama dan aqidah yang sebenar.
Syeikh Ali al-Khawas berkata: “Hendaklah setiap orang memperhatikan sifat anak-anaknya. Jika sifat mereka baik, maka itu adalah akhlaknya. Jika buruk, itu juga akhlaknya. Sebab sperma (mani) turun dari dirinya dengan sifat-sifat tersebut. Maka tidak ada yang boleh disalahkan selain dirinya sendiri.”
Perkara ini juga Allah SWT telah peringatkan dalam firmannya:
“Dan janganlah kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan Sesungguhnya seorang hamba perempuan Yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) Dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan Sesungguhnya seorang hamba lelaki Yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan Dengan izinNya. dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (al-Baqarah: 221)

No comments:

Post a Comment